Advertisement

Anwar Nafi Dakwaan Pertukaran Saat Akhir Calon Ketua Hakim Negara – Sabah News

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dakwaan berlakunya pertukaran calon Ketua Hakim Negara pada saat akhir.

Menurutnya, pelantikan tersebut telahpun dikemukakan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong lebih awal selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka kata sistem kehakiman telah diganggu. Ada yang mahu mempolitikkan isu ini.

“Selama seminggu kita dikritik, kononnya perdana menteri tidak beri respons. Bagaimana saya nak respons ketika proses pelantikan masih berjalan?” katanya semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri memetik New Straits Times.

Beliau menjelaskan bahawa mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Ketua Hakim Negara memerlukan cadangan perdana menteri serta perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 pada 28 Julai, menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu.

Datuk Abu Bakar Jais turut dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu, manakala Datuk Azizah Nawawi dinamakan sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Anwar turut memaklumkan bahawa lapan hakim Mahkamah Rayuan dan 14 hakim Mahkamah Tinggi yang baharu akan mengangkat sumpah pada 28 Julai, tanpa sebarang pemecatan hakim sedia ada.

Pelantikan ini berlaku susulan dakwaan kebocoran maklumat daripada mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), di tengah-tengah tuduhan wujud campur tangan dalam pelantikan hakim.

Susulan itu, sembilan Ahli Parlimen kerajaan menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, sementara Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan siasatan sedang dijalankan.