Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan para penerima Anugerah Biasiswa Kecemerlangan (ABK) agar tidak menjadikan kejayaan yang diterima sebagai alasan untuk berasa selesa, sebaliknya menjadikannya sebagai aspirasi untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.
Berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Sabah Siri Ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini, beliau menegaskan bahawa penerima anugerah ini memikul amanah dan tanggungjawab besar untuk menjadi contoh kepada generasi muda lain.
“Jadikan anugerah ini sebagai dorongan untuk terus berusaha demi menyokong agenda Sabah Maju Jaya dan visi Malaysia Madani. Jangan mudah terpengaruh dengan retorik atau perkara yang boleh merosakkan masa depan negeri dan negara kita,” katanya.
Dalam majlis itu, Hajiji turut mengumumkan bahawa mulai tahun ini, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) turut ditawarkan kepada pelajar di peringkat asasi, matrikulasi dan A-Level bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak-anak Sabah.
Beliau berkata, elaun biasiswa bagi semua pelajar tajaan BKNS di institusi awam dan swasta juga akan diseragamkan sebagai sebahagian daripada inisiatif meningkatkan sokongan terhadap pembangunan pendidikan.
“Tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM136 juta untuk biasiswa, jumlah tertinggi dalam sejarah BKNS, berbanding hanya RM50 juta pada tahun 2020. Ini mencerminkan komitmen kita terhadap pendidikan,” ujarnya.
Sejak 2021 hingga 2024, seramai 13,550 pelajar telah menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif pendidikan Kerajaan Negeri. Selain itu, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah membantu 10,104 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM15.8 juta,
Manakala Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS telah menyumbang RM92.4 juta kepada lebih 48,000 pelajar dalam tempoh lima tahun.
Menurut Hajiji, tahun ini sahaja, sejumlah RM77.5 juta telah diperuntukkan bagi membiayai 14 inisiatif bantuan pendidikan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI); Bantuan Ihsan Komputer (BAIK); Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY); dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Kesemua bantuan ini turut disokong agensi seperti Yayasan Kebajikan Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah.
Hajiji menggesa pelajar untuk meneroka bidang-bidang berimpak tinggi seperti minyak, gas dan tenaga, TVET, serta kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan modal insan berkepakaran tinggi dari Sabah.
“Kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan belia, sentiasa diberi keutamaan tanpa mengira latar belakang,” katanya.