Advertisement

Keselamatan Terus Dipertingkat, 58 Unit CCTV Dipasang di Lima Kampung Bagi Fasa 2 Dalam DUN Darau  – Sabah News

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Usaha meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus dipergiat menerusi pelaksanaan pemasangan 58 unit kamera litar tertutup (CCTV) bagi Fasa Kedua di beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau.

Inisiatif ini dilaksana atas usaha Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Razi yang komited memastikan komuniti setempat terus dilindungi daripada ancaman jenayah dan kejadian tidak diingini.

Razali ketika dihubungi berkata, pemasangan 58 unit CCTV yang dilaksanakan sepanjang Jun lalu telah melibatkan lima kampung termasuk Kampung Darau (14 unit); Kampung Rampayan (15 unit); Kampung Warisan (15 unit); Kampung Kalansanan (10 unit); dan Kampung Likas (4 unit).

Jelas Razali lagi, fasa seterusnya nanti akan menyaksikan perluasan pemasangan CCTV ke beberapa lagi kawasan strategik termasuk Kampung Kalansanan, Kampung Bangka-Bangka, Kampung Kembirian serta sekolah-sekolah yang memerlukan dalam kawasan DUN Darau.

“Kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada kawasan berisiko, tetapi juga premis pendidikan bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru terjamin. Usaha ini merupakan langkah proaktif dari pihak kita untuk membina komuniti yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata, pemasangan CCTV ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kadar jenayah, tetapi juga membantu pihak berkuasa dalam siasatan kes serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap persekitaran mereka.

“CCTV terbukti berkesan dalam pencegahan jenayah. Kehadiran kamera ini dapat memberikan rasa selamat kepada penduduk, sekaligus membina suasana kehidupan yang lebih tenang dan tenteram,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, Razali turut mengajak penduduk kampung dan jawatankuasa keselamatan kampung untuk bekerjasama dalam penyelenggaraan sistem ini, serta bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

“Pembangunan dan keselamatan bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi juga memerlukan penglibatan aktif rakyat. Jika semua pihak bekerjasama, saya yakin Darau boleh menjadi contoh kawasan yang progresif dan selamat di Sabah,” katanya.

Pemasangan CCTV ini telah dilaksanakan dengan penglibatan barisan pemimpin-pemimpin di peringkat kampung dan juga ahli-ahli Gagasan Rakyat yang diketuai oleh Ketua Cawangan Gagasan Rakyat Kampung Cenderamata 1 Likas, Mohamad Suffian Saprin.

Pada Februari lalu, dalam pelaksanaan pemasangan CCTV bagi fasa 1 telah melibatkan 24 kawasan ‘hotspot’ di Likas yang dipasang CCTV bagi tujuan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan tersebut.