Oleh: Mirlen Axtius
TAWAU: Seorang lelaki tergamak mengugut mahu membunuh ibu kandungnya dalam kejadian di Kalabakan, petang, Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek warga tempatan berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 malam selepas pihak polis menerima maklumat awam mengenai insiden tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi, pihak polis mendapati suspek berada dalam keadaan agresif di luar rumah. Suspek didakwa mengugut mahu membunuh ibu bapa serta ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Kalabakan selepas menerima aduan awam.
Katanya, suspek ditahan dan dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Tegas beliau, pihak polis memandang serius kes keganasan dalam keluarga dan menyeru orang ramai tampil membuat laporan sekiranya berlaku insiden seumpama itu.