KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) menafikan dakwaan salah laku melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif, Natasha Sim dan Setiausaha Syarikat, Emily Chong, susulan penyebaran gambar mereka bersama sebuah pesawat peribadi ketika lawatan kerja ke Indonesia pada Ogos 2024.
“Lawatan itu sebahagian daripada urusan pelaburan langsung asing (FDI) dengan syarikat perlombongan Indonesia yang telah diluluskan lembaga pengarah,” kata SMM dalam kenyataan.
Menurut SMM, lawatan pertama dimulakan oleh bekas CEO, Jontih Enggihon pada Mac 2023 sebagai usaha semakan kerjasama.
Cadangan rasmi dikemukakan beliau pada Disember 2023, dan disokong oleh lembaga pada Februari 2024. Natasha Sim dilantik sebagai pegawai penghubung utama.
“Gambar tersebut telah disalah tafsir dan digunakan untuk menimbulkan persepsi negatif.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya sebarang salah laku atau konflik kepentingan,” katanya.
SMM memaklumkan bahawa Sim dan Chong telah memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Disember 2024, dan satu siasatan dalaman bebas yang selesai pada Februari 2025 mendapati tiada sebarang salah laku.
“SMM bukan badan pelesenan dan CEO tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan lesen,” jelas kenyataan itu lagi.
SMM turut mengaitkan kemunculan semula isu ini dengan kes saman sivil yang sedang berjalan terhadap Jontih Enggihon dan ahli perniagaan Albert Tei atas dakwaan penipuan, salah guna kuasa, dan konspirasi.
“Kami percaya ini bermotif politik dan satu usaha untuk menjejaskan reputasi syarikat,” katanya.
Mereka memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebar tuduhan palsu.
“Kami menyeru semua pihak termasuk media dan ahli politik untuk semak fakta sebelum membuat sebarang kenyataan berunsur fitnah,” tegas syarikat itu.