Advertisement

PM Umum RM100 Untuk Setiap Rakyat Dewasa, Berkuat Kuasa 31 Ogos Ini – Sabah News

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bantuan tunai RM100 secara ‘one-off’ kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Beliau berkata ianya sebagai langkah segera menangani kos sara hidup dan menghargai sumbangan rakyat sempena Hari Kebangsaan 2025.

Bantuan tersebut akan disalurkan menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan boleh digunakan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.

Pembelian boleh dibuat menggunakan MyKad di lebih 4,100 premis di seluruh negara termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus’s, Econsave, 99Speedmart dan kedai runcit terpilih.

“Bantuan ini bersifat individu, bukan isi rumah. Sebuah keluarga misalnya suami, isteri dan dua anak dewasa akan menerima keseluruhan RM400,” jelas Anwar dalam pengumuman khas pagi ini.

Langkah ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat Malaysia, melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan tunai STR dan SARA bagi tahun 2025 mencecah RM15 bilion yang tertinggi dalam sejarah.

Selain itu, kerajaan turut menggandakan peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 daripada RM300 juta kepada RM600 juta, bagi memperluaskan capaian jualan harga rendah ke semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri dan menambah lebih banyak jenis barangan asas demi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat.

Perdana Menteri menegaskan walaupun kadar inflasi kekal rendah pada 1.1 peratus setakat Jun 2025, kenaikan harga makanan masih membebankan rakyat dan memerlukan campur tangan segera kerajaan.