KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan bahawa kabinet negeri telah bersetuju berkenaan pelarasan gaji perkhidmatan awam negeri dalam dua fasa selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada 1 Disember.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pada 16 Ogos lalu bahawa
SSPA akan menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM).
Menurut Hajiji, pelarasan gaji kepada seramai 21,228 penjawat awam negeri itu akan dilaksanakan pada 1 Disember (fasa pertama) dan 1 Januari 2025 (fasa kedua) dengan melibatkan peruntukan keseluruhan RM103,020,059.66.
Hajiji berkata, kabinet negeri juga bersetuju untuk menyelaraskan kadar gaji pekerja sambilan harian negeri kepada minimum RM1,725 sebulan serta penambahbaikan faedah sedia ada mulai 1 Disember.
Pelarasan gaji untuk 2,116 pekerja sambilan harian akan melibatkan kos sebanyak RM46,096,140.
“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi penyelarasan gaji perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian ialah RM149,116,199.66,” tambahnya.
Menurutnya, penyelarasan gaji itu adalah manifestasi pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan kakitangan perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian kepada agenda pembangunan negeri, selain membantu meringankan kos sara hidup harian yang semakin meningkat.