KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 64 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam satu operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha @ Sh Saleha Yussof berkata, kesemua 64 orang PATI tersebut ditahan dalam serbuan yang dibuat di empat buah kawasan sekitar daerah Beaufort dan Sipitang.
“Operasi bermula pada 21 Oktober 2024 pada jam 12.05 pagi dan berakhir pada jam 06:50 pagi dengan jumlah keseluruhan kekuatan anggota 39 orang Pegawai Imigresen.
“Seramai 215 orang diperiksa dalam operasi ini dan daripada jumlah berkenaan, seramai 64 orang PATI ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
“Semua yang ditahan berumur antara 1 bulan hingga 79 tahun, terdiri daripada 18 orang lelaki dewasa, 17 perempuan dewasa dan 29 kanak-kanak.
“Tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam Sidang Media Bersama Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sabah di Pejabat Imigresen Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, semalam.
Sh Saleha memaklumkan ketika serbuan dan pemeriksaan dilaksanakan, terdapat kejadian warga asing cuba melarikan diri dari anggota operasi tetapi keadaan adalah terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri di bawah Seksyen 6(1)(c).
“Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindahkan warganegara asing yang melanggar peruntukan undang undang negara seperti di bawah Akta imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” tambahnya.
Setakat hari ini, sebanyak 1,275 operasi telah dijalankan melibatkan 25,422 orang diperiksa, 4,811 orang ditangkap dan 37 majikan didakwa atas pelbagai kesalahan. — JABATAN PENERANGAN SABAH