Advertisement

Lelaki Ditahan Reman, Didakwa Kemuka Matan Palsu Melibatkan Nilai RM45,000 Kepada PPD

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan reman seorang individu perniagaan kerana disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kepada salah sebuah Pejabat Pendidikan Daerah PPD di negeri ini.

SPRM Sabah dalam satu kenyataan hari ini berkata, tuntutan tersebut melibatkan pembekalan bahan mentah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah bernilai kira-kira RM45,000.

Menurut sumber, suspek lelaki yang merupakan pemilik perniagaan berusia sekitar 40-an telah ditahan kira-kira jam 12.30 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Sabah.

Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi dan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 November 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Portia Tham Ong Leng.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 di mana telah mengemukakan dua tuntutan bayaran kira-kira RM25,000 dan RM20,000.

“Tuntutan bayaran tersebut adalah bertujuan bagi membekalkan bahan mentah bagi pembaikan dan penyelenggaran sekolah tetapi pembekalan tidak dilaksanakan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut beliau lagi, pihaknya menjangkakan ada beberapa tangkapan susulan akan dibuat lagi.