KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan telah menahan dua anggota agensi penguatkuasa kerana disyaki meminta wang suapan berjumlah RM5,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pengadu yang melakukan kesalahan lalulintas dalam satu operasi sekatan jalanraya pada pagi ini.
Susulan daripada itu, kedua-dua anggota penguatkuasa tersebut telah meminta wang suapan daripada pengadu supaya pengadu tidak dikenakan tindakan dan saman atas sebab tidak mempunyai lesen memandu, serta memandu kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran yang palsu.
Selain daripada dokumen pengenalan diri milik pengadu dirampas, telefon bimbit pengadu juga telah diambil.
Pengadu telah menghubungi pihak SPRM dan tindakan susulan telah diambil terhadap kedua- dua anggota agensi penguatkuasa tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy A/L Y.Subbiah ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.