KINABATANGAN: Dua maut manakala empat mangsa lagi mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan Perodua Aruz yang terbabas sendiri sebelum terbalik di jalan Bukit Garam pada petang Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.20 petang.
“Terdapat enam orang mangsa terlibat dalam kemalangan yang mana dua mangsa, iaitu seorang remaja perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan di lokasi kejadian.
“Manakala empat mangsa lagi, iaitu Rosli Oongas, 53 tahun, seorang perempuan dewasa dilaporkan mengalami kecederaan, sementara seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia enam tahun alami kecederaan ringan di tangan kanan.
“Seterusnya, seorang lagi mangsa kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun ditemuka selamat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Katanya lagi, kesemua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Dua mangsa yang meninggal dunia pula telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Operasi seterusnya ditamatkan pada jam 7.13 petang.