KUALA LUMPUR: Sebuah projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II dari 80 juta liter sehari (JLH) ke 160JLH bernilai RM429.2 juta kini sedang dalam pembinaan di daerah Tuaran.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), ia merupakan sebuah projek yang turut merangkumi penambahan kapasiti saluran paip utama dan tangki simpanan.
“Kemajuan fizikal terkini di tapak projek ialah 99.68%. Projek ini dijangka siap pada November 2024.
“Walau bagaimanapun, terdapat permohonan Notis Perubahan (NOC) untuk kelulusan peluasan skop, objektif, output dan outcome projek dengan pelarasan kos yang dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi pada 17 September 2024,” ujar PETRA.
Kementerian itu menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap Soalan Lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Tangau pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Dalam soalannya, Madius meminta PETRA menyatakan status terkini peruntukan RM300 juta dana yang diumumkan Perdana Menteri pada tahun 2023 untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah.
“Apakah projek-projek yang telah, sedang atau dalam perancangan untuk dilaksanakan di Sabah khususnya di daerah Tuaran,” katanya.
Menurut PETRA, Jemaah Menteri pada 27 September 2023 telah meluluskan sebanyak RM300 juta secara pinjaman untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah.
“Projek yang dibina daripada dana tersebut merangkumi Projek Mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tak Terhasil bagi tujuan penggantian, naik taraf paip, pam penggalak dan tangki simpanan air di daerah Kota Kinabalu.
“Dana itu turut membiayai Projek Penggantian Pam Penggalak, Pembinaan Rumah Pam Penggalak, Penggantian Pam Air Mentah dan Terawat Bagi Muka Sauk dan Loji Rawatan Air Di Daerah Papar, Keningau dan Lahad Datu.
“Ia juga bagi melaksanakan penggantian Alat Janakuasa di Loji Rawatan Air Merotai, Tawau dan Beaufort 1.
“Surat Setuju Terima (SST) bagi ketiga-tiga projek ini dijangka dikeluarkan pada Januari 2025,” jelas PETRA.
Kementerian itu turut memaklumkan, sebuah lagi projek adalah Menaik Taraf Loji Rawatan Air Kasigui Bagi Bekalan Air Daerah Putatan dan Menaik Taraf Muka Sauk di Loji Rawatan Air Beaufort 2 Termasuk Kerja Kerja Berkaitan.
“Bagi projek ini, jangkaan SST dikeluarkan adalah pada Oktober 2024,” ujar PETRA.
Dalam perkembangan berkaitan, terdapat satu projek sambungan iaitu Projek Menaik Taraf Sistem Saluran Agihan Utama Termasuk Pembinaan Tiga Buah Tangki Simpanan Utama, Sandakan.
Menurut kementerian itu lagi, projek yang menerima peruntukkan RM144.8 juta itu kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 39%.
“Projek ini dijangka siap pada suku ke-3 tahun 2026,” jelas PETRA.