Advertisement

SUBSIDI RM300 KEPADA PELAJAR SABAH YANG MENUNTUT DI IPT DALAM NEGERI – KM HAJIJI

Hajiji
Hajiji berswafoto bersama sebahagian pelajar yang hadir sempena Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS, di Raia Hotel ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Sabah akan memberikan subsidi one-off RM300 kepada pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata bantuan secara one-off itu diberikan kepada pelajar-pelajar yang menuntut di dalam negeri untuk balik ke kampung masing-masing ketika musim perayaan.

“Sebagai contoh, pelajar dari Tawau atau Sandakan tetapi belajar di Kota Kinabalu dan sebaliknya, akan dibantu dalam one-off subsidi ini. Sama ada mereka akan menggunakan bantuan itu untuk membeli tiket kapal atau bas.

“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan saya adalah kerajaan yang sentiasanmendengar keluhan rakyat. Sebab itu kita sentiasa mendengar apa yang diminta oleh rakyat termasuk golongan pelajar kita.

“Pelbagai inisiatif dan bantuan yang diberikan kepada rakyat khususnya pelajar adalah untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berilmu, yang akan membantu membangunkan negeri ini pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS di Raia Hotel di sini, pada Ahad.

Beliau bagaimanapun berkata, maklumat terperinci mengenai bantuan subsidi itu termasuk jumlah penerima bantuan kini sedang dilaksanakan oleh pihak yang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata pada bulan Ramadan lalu, bantuan subsidi one-off RM600 telah diberikan kepada pelajar Sabah yang belajar di IPT awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Sebelum ini saya telah umumkan pelaksanaan subsidi kapal terbang yang kita namakan Graduan Rindu Sabah. Melalui inisiatif ini, pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan memperolehi bantuan one off sebanyak RM600 seorang.

Bantuan ini digunakan oleh pelajar untuk balik ke kampung sempena perayaan atau cuti semester,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mahu Sayap Pelajar GRS terus menyantuni golongan pelajar di negeri ini, bagi memastikan golongan itu memberikan sokongan kepada GRS.

Beliau berkata golongan muda adalah menjadi penentu kepada kejayaan GRS dalam Pilihan Raya Negeri ke-17.

“Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terkini, sejumlah hampir 950,000 pengundi muda (18 hingga 40 tahun) bakal mengundi dalam PRN-17, pada tahun hadapan.

“Justeru, saya menyarankan kepada Sayap Pelajar GRS untuk terus menyantuni golongan pelajar. Ini penting bagi memastikan olongan itu memberikan sokongan kepada GRS. GRS merupakan parti yang meletakkan kepentingan orang muda di kedudukan yang istimewa.

“Apa yang penting sayap ini membantu menyakinkan rakyat khususnya pelajar di IPT mengenai dasar dan inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan GRS selain pentingnya kestabilan politik demi untuk masa depan rakyat dan negeri ini,” katanya.