KUALA LUMPUR – Seramai 21 rakyat Malaysia daripada 42 individu ditahan oleh Polis Filipina dalam serbuan ke atas sebuah pusat panggilan penipuan atau ‘calling center’ di sebuah pelabuhan bebas di Luzon Tengah, Bataan, Filipina, Khamis lalu.
Memetik sumber Berita Harian, berdasarkan maklumat terkini yang diperoleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, 21 rakyat Malaysia itu disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan dalam talian, maklumat perbankan dan pemerdagangan manusia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pada masa ini kesemua tangkapan sedang disiasat kerana disyaki terbabit dalam kesalahan penipuan.
“Pada masa ini mereka ditahan kerana terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian, scammer dan underground banking namun saya percaya pihak berkuasa Filipina masih menjalankan siasatan secara lebih lanjut.
“Kesemua mereka termasuk rakyat Malaysia ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Suruhanjaya Presiden Anti Jenayah Terancang (PAOCC).
“JSJK sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Filipina bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai serbuan berkenaan selain bertukar-tukar maklumat sekiranya ada keperluan,” katanya.
Beliau berkata, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada kegiatan penipuan yang berlangsung di pelabuhan berkenaan didalangi oleh rakyat Malaysia dan Filipina sehingga siasatan lanjut mengesahkannya.
Terdahulu beberapa media di Filipina melaporkan bahawa serbuan oleh Pasukan Anti Jenayah Cyber (PNP), PAOCC dan Biro Siasatan Kebangsaan Filipina (NBI) menyerbu pusat panggilan penipuan terbesar didalangi rakyat Malaysia dan China.
Ramli berkata, kesemua tangkapan warga asing termasuk rakyat Malaysia kini dalam kawalan PAOCC untuk tindakan selanjutnya.
“Kita masih menunggu koordinasi lanjut dengan PAOCC sekiranya diminta.
“Sehubungan operasi di Filipina ini, JSJK sedang meneliti sama ada mereka (sindiket di Filipina) mempunyai rangkaian jenayah atau jaringan aktiviti penipuan di negara ini,” katanya.
Katanya, JSJK turut akan menyiasat dan meneliti sama ada rakyat Malaysia yang ditahan ini menjadi mangsa kepada aktiviti pemerdagangan manusia atau aktiviti penipuan sehingga dipaksa bekerja di pusat panggilan berkenaan.
Terdahulu, dua hari sebelum serbuan PAOCC Ini, pihak NBI telah menangkap 18 warga China dan empat warga Malaysia, yang mengendalikan sebuah pusat panggilan penipuan di Bandar Paranaque, Filipina, yang terletak dua jam perjalanan dari Manila.