Advertisement

2,182 Pesakit Buah Pinggang Tahap Akhir Di Sabah – James

Datuk James Ratib, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah merekodkan 2,182 pesakit Kegagalan Buah Pinggang Peringkat Akhir setakat Oktober 2024 di mana 1,385 pesakit menjalani Hemodialisis manakala 797 menjalani rawatan Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata sehingga Nov 2024, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah merekodkan seramai 21,504 penerima Skim Bantuan Am dengan jumlah perbelanjaan RM 4,719,740 di mana 732 penerima adalah penghidap penyakit buah pinggang.

“Bantuan ini bagi meringankan beban pesakit termasuk kos rawatan hemodialisis mereka,” kata ADUN (Gagasan Rakyat – Sugut) itu di sidang DUN pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Dumi Masdal (Warisan – Silam) bahawa jika pesakit buah pinggang B40 Sabah boleh dikecualikan dari pembayaran dialisis RM13 di hospital milik kerajaan kerana ianya boleh menelan kos lebih daripada RM156 sebulan.

James berkata setakat ini belum ada rancangan sedemikian tetapi kerajaan sedia maklum akan situasi itu.

“Berdasarkan pengalaman saya bersama pesakit khususnya dari luar bandar, mereka tidak mampu membayar RM13, apatah lagi kos perjalanan yang mencecah sehingga RM1000 bagu setiap lawatan.

“Saya telah menyuarakan perkara ini kepada kabinet negeri sebelum ini dan diharapkan ianya akan dipertimbangkan dalam rancangan pembangunan Sabah Maju Jaya akan datang,” katanya.