Advertisement

Dendo Samah Bawa Cabaran Sabah Ke Pentas Dunia – Sabah News

KUALA LUMPUR : Anak jati Kota Belud, Ani Mustapah bukan sahaja memperkenalkan busana etnik suku kaum Bajau Samah ke peringkat dunia malahan turut menggalas nama Sabah sebagai destinasi pelancongan yang terhebat di dunia.

Demikian menurut Ani yang bakal melabuhkan cabaran di final Legend Universal Beauty Pageant 2024 di ibu negara malam ini.

Ketika dinobatkan gelaran sebagai The Most Elegent acara itu semalam di Shah Alam, Ani juga disenaraikan dalam Top 5 Best Costume Finalis apabila mengenakan pakaian Koboi bermotifkan Cowboy Of The East, Kota Belud Sabah.

Meletakkan diri di Legend Universal Beauty Pageant 2024, terhasil dari kemenangan beliau di Miss & Mrs Stellar Elite 2024 yang berlangsung di Sarawak sebelum ini sekaligus membuka peluangnya untuk mara ke peringkat tertinggi kali ini.

Ani akan bertanding dalam kategori Classic manakala seorang lagi finalis dari Sarawak, Hannah Dahlim mewakili Borneo dalam kategori Miss.

Seramai lebih 45 orang finalis Ratu mewakili negara masing-masing yang antaranya dari negara-negara Asia seperti Jepun, China, Vietnam, Taiwan, Singapura, Malaysia, Brunei ,Filipina dan Kepulauan Borneo (Sabah & Sarawak).

Selainnya datang dari Russia, India, Sri Lanka, Hong Kong, Sudan dan lain-lain.

Pentas akhir akan berlangsung malam ini di HXC Grand Ballroom, United Point Mall, Jalan Lang Emas Segambut Kuala Lumpur.