Advertisement

Pewujudan Pondok Polis Mukim Kaingaran Dihargai – Sabah News

Dr. Joachim (kanan) menerima cendera mata daripada Jauteh.

RANAU: Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mewujudkan pondok polis di Mukim Kaingaran.

Katanya, usaha ini sebagai langkah penting dalam membendung aktiviti tidak sihat dan memastikan ketenteraman awam yang berterusan.

“Walaupun kadar jenayah di sini rendah, kehadiran pondok polis tetap diperlukan untuk mengekalkan suasana aman dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Karnival Pencegahan Jenayah Kepolisan Komuniti anjuran PDRM Sabah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kaingaran semalam yang berlangsung selama dua hari, bermula 29 November lalu.

Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan kepada PDRM atas pemilihan Mukim Kaingaran sebagai lokasi penganjuran karnival pada tahun ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang menyertai program tersebut melalui pameran yang dianjurkan.

“Ini bukan kali pertama program seperti ini diadakan. Sebelum ini, karnival serupa telah dilaksanakan di Pulau Banggi,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah merekodkan banyak pencapaian positif dalam pelbagai aspek.

Jelasnya, antara kejayaan Kerajaan GRS termasuklah meningkatkan rizab tunai Kerajaan Negeri kepada RM8.6 bilion; menetapkan syarat kepada pelabur agar 80 peratus peluang pekerjaan diberikan kepada penduduk tempatan; dan memberikan pelbagai bantuan khas kepada rakyat.

“Kerajaan kini sedang berusaha menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dr. Joachim turut menyeru penduduk Mukim Kaingaran untuk terus menyokong calon GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang demi kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah merangkap Pengerusi Karnival Pencegahan Jenayah Kepolisan Komuniti Mukim Kaingaran, SAC Datuk Mohd. Azhar Hamin; wakil-wakil Ahli Parlimen dan ADUN; Setiausaha Politik Dr. Joachim, Yubidi Gompoyo; Pengawai Daerah Ranau, Tinus Manggam, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer Endra M. Sator; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Kundasang, Dounis Sani; ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri dan persekutuan; serta ketua-ketua kampung.

Dr. Joachim bersama isteri, Datin Seri Linda Ewit turut menyampaikan sumbangan wang tunai yang berjumlah RM41,000 kepada 41 buah gereja bagi sambutan Krismas Disember ini dan serahan 200 bantuan bakul makanan kepada warga emas.