KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) mengusir pulang 180 orang Pendatang Asing Tanpa izin (PATI) warganegara Filipina daripada Depot Imigresen Sandakan melalui ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina, semalam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata kategori usir melalui laut itu melibatkan 79 orang lelaki dewasa, 38 orang wanita, 29 kanak-kanak Lelaki dan 34 kanak-kanak perempuan.
“Kesemua tahanan yang dipindahkan ke negara asal berumur sekitar 1 tahun sehingga 80 tahun.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan program tersebut balik ke negara asal bersama ibu bapa atau penjaga yang sah.
“Kesemua tahanan telah balik ke negara asal atas kos pembiayaan sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kadar pembayaran tiket feri yang dikenakan termasuk caj kemudahan pengangkutan bas mulai daripada lokasi Sandakan ke Lahad Datu bemilai RM375 untuk penumpang dewasa, RM210 untuk penumpang kanak-kanak berusia 5 tahun ke 13 tahun dan percuma bagi kanak-kanak berusia 4 tahun dan ke bawah.
“PATI yang dipindahkan telah dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigreson 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“PATI tersebut telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, bagi tahun 2024, seramai 6,185 orang tahanan PATI warganegara Filipina direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,842 orang warganegara asing yang telah berjaya dipindahkan ke negara asal.
Kesemua tahanan PATI akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukan.