KIMANIS: Pada tahun 2025 TEKUN Nasional telah mensasarkan penyaluran pembiayaan kepada 5,000 orang usahawan Negeri Sabah dengan nilai peruntukan sebanyak RM125 juta.
Sejak diwujudkan pada tahun 1998 sehingga Disember 2024, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 593,605 orang usahawan yang bernilai RM10.07 billion di seluruh negara.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam satu kenyataan berkata, bagi Negeri Sabah, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM1,159 billion kepada 65,242 orang usahawan bagi tempoh yang sama melalui 26 Pejabat TEKUN termasuk Pejabat Negeri di sekitar Sabah.
“Pembukaan pejabat TEKUN Cawangan Kimanis di lokasi yang baru ini adalah sebagai langkah memperkukuhkan kedudukan serta memberi manfaat kepada para usahawan bagi
kawasan setempat khususnya Kimanis,” jelasnya di sini, hari ini.
Sementara itu, menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, beliau dimaklumkan Pejabat TEKUN Cawangan Kimanis ini merupakan pejabat ke 175 yang telah mula beroperasi sejak 2 September 2024.
“Saya pasti pembukaan pejabat baru TEKUN Cawangan Kimanis ini akan memudahkan semua usahawan dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi.
“Ini merupakan inisiatif penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan dan saya yakin TEKUN Nasional akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatannya kepada
masyarakat terutama usahawan informal dan mikro di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan Pejabat TEKUN Cawangan Kimanis di sini, hari ini.
TEKUN Nasional akan terus komited dalam membantu usahawan informal dan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan.