KOTA KINABALU: YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah menerima kunjungan daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), yang diketuai oleh YB Vivian Wong Shir Yee, Pengerusi LPKP Sabah, semalam.
Menerusi kunjungan ini, YB Vivian telah memberi penerangan berkaitan Program Transformasi Bas Berhenti-henti (Stage Bus Service Transformation – SBST) Bandaraya Kota Kinabalu yang bertujuan untuk menaik taraf sistem perkhidmatan bas berhenti-henti yang lebih kondusif dan sistematik di sekitar bandar raya.
Kunjungan ini kemudian diteruskan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Encik Boney Joumil, Timbalan Pengarah LPKP Sabah dan R.M. Luqman Mohamed, Penolong Pengarah Kanan LPKP Sabah, yang mengupas lebih mendalam berkaitan pembaharuan yang diperkenalkan menerusi SBST.
Perkhidmatan bas berhenti-henti merupakan salah satu daripada jenis pengangkutan awam yang disediakan untuk kemudahan warga Bandaraya Kota Kinabalu.
Menerusi program transformasi ini, antara penambahbaikan yang dibawakan ialah penggunaan Global Positioning System (GPS), Sistem Mesin e-Ticket, Jadual Tambang dan Jadual Perjalanan yang disahkan oleh LPKP, Data Maklumat Tahunan Penumpang dan pemilik lesen wajib mempunyai lesen PSV.
Transformasi sistem pengangkutan bas berhenti-henti ini turut mengambil kira sambungan pengangkutan yang lebih lancar dan menyeluruh ke pelbagai destinasi dalam bandaraya Kota Kinabalu.
Rangkaian pengangkutan yang bakal tersedia dalam SBST ini terdiri daripada lapan (rangkaian iaitu Jesselton Link – 101 (KK Sentral KK Sentral melalui Jln UMS – Jln Lintas),
Jesselton Link – 102 (KK Sentral KK Sentral melalui Jln Lintas – Jln UMS), Jesselton Link – 103A (Pekan Manggatal),
Pekan Manggatal melalui Jln Tuaran (Lama) – Jln Sepanggar), Jesselton Link – 103B (Pekan Manggatal
Pekan Manggatal melalui Jln Tuaran (Lama) – Jln Sepanggar), Jesselton Link – 201 (KK Sentral
KK Sentral melalui Jln Tun Fuad Stephens – Jln Penampang), Jesselton Link – 202 (KK Sentral,
KK Sentral melalui Jln Damai – Jln Kompleks Sukan), Jesselton Link – 301 (KK Sentral
KK Sentral melalui Jln Kepayan – Jln Lintas) dan Jesselton Link – 302 (KK Sentral
KK Sentral melalui Jln Tunku Abdul Rahman – Jln Kepayan).
Penunjuk Prestasi Utama (KPI) Perkhidmatan Bas Berhenti-henti turut merangkumi ketepatan masa, yang merujuk keupayaan perkhidmatan untuk berlepas mengikut jadual yang ditetapkan, selain kepatuhan pada laluan yang telah ditetapkan bagi memastikan penumpang tiba di destinasi yang dirancang tanpa gangguan.
Hadir sama dalam sesi taklimat ini ialah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK); Puan Hana’Aifah binti A.S. Suhaili, Pengarah Jabatan Pengangkutan dan Trafik, Puan Hajah Jainab binti Saidi, Pengarah Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK serta Encik Mohd. Haniff bin Abdullah, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan.
Sistem bas berhenti-henti baharu ini merupakan inisiatif tambahan kerajaan dalam usaha untuk menambahbaik sistem pengangkutan sedia ada.
Manakala, pengusaha bas berhenti-henti yang sedia ada akan terus beroperasi seperti biasa.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Mayor turut menyeru kepada para pengusaha bas berhenti-henti sedia ada untuk bersama-sama berusaha menaik taraf perkhidmatan pengangkutan mereka dari masa ke semasa, seiring dengan keperluan masyarakat umum.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa komited dalam usaha menambah baik fasiliti dan infrastruktur pengangkutan di Bandaraya Kota Kinabalu.
Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada penyampaian kualiti perkhidmatan yang lebih berkualiti, khusus bagi warga Bandaraya Kota Kinabalu.