Advertisement

Mesir Tolak Cadangan Israel Untuk Tadbir Gaza – Sabah News

Kesan kemusnahan di Gaza akibat serangan Israel…(Sumber Foto: Reuters)

KAHERAH – Mesir pada Rabu menolak sebarang cadangan untuk mengambil alih pentadbiran Semenanjung Gaza, susulan gesaan ketua pembangkang Israel Yair Lapid agar Kaherah mentadbir wilayah Palestin itu buat sementara waktu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap Kementerian Luar Mesir menyifatkan cadangan itu sebagai langkah sementara yang hanya akan berlarutan tanpa menyelesaikan konflik secara muktamad.

“Sebarang cadangan yang menyimpang daripada pendirian tetap Mesir dan negara Arab, serta asas penyelesaian konflik yang sebenar, — iaitu pengunduran Israel dari wilayah Palestin yang diduduki dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka — adalah tidak boleh diterima,” kata jurucakap kementerian, Tamim Khallaf dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, adalah sebahagian daripada Kesan kemusnahan akibat serangan Israel di Gaza.

Pada Selasa, Lapid mencadangkan supaya Mesir mengambil alih pentadbiran Gaza selama 15 tahun sebagai pertukaran kepada pembatalan hutang luar negara Kaherah yang berjumlah lebih US$150 bilion.

Ketua pembangkang itu mengutarakan cadangan berkenaan semasa berucap di Foundation for Defense of Democracies (FDD) di Washington dan kemudiannya dimuat naik di platform X.

Lapid mendakwa bahawa dalam tempoh 15 tahun itu, “Gaza akan dibangunkan semula dan syarat untuk pemerintahan sendiri akan diwujudkan. Mesir akan menjadi pemain utama dan akan menyelia pembinaan semula Gaza, sekali gus mengukuhkan ekonominya.”

Sementara itu, kumpulan Palestin Hamas menolak sebarang cadangan untuk meletakkan senjata atau dikeluarkan dari Gaza, sambil menegaskan bahawa masa depan wilayah itu mesti ditentukan melalui konsensus nasional rakyat Palestin.

Israel terus menduduki wilayah Palestin, Syria dan Lubnan serta enggan berundur atau mengiktiraf negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya berdasarkan
garis sempadan sebelum 1967.

Gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan dikuatkuasakan di Gaza sejak bulan lalu, menghentikan sementara perang Israel yang meragut hampir 48,350 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan wilayah itu.

– BERNAMA-ANADOLU