KOTA KINABALU: PKR Sabah masih berunding dengan komponen Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan pembahagian kerusi yang adil dan mengelakkan perpecahan dalam gabungan itu.
Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata keutamaan parti adalah untuk mempertahankan kedudukan kerajaan Madani.
Menurutnya, beberapa kerusi seperti Tempasuk turut dibincangkan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
PKR Sabah tidak mahu tergesa-gesa mengumumkan kerusi yang akan ditandingi bagi mengelakkan spekulasi bahawa mereka bertanding secara solo.
Mengenai keputusan Parti Warisan dan Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk bertanding solo, Mustapha berkata, parti itu tetap terbuka kepada perbincangan. Katanya, menutup pintu kerjasama bukan langkah bijak dalam politik Sabah.
“Jika ada parti yang yakin boleh bertanding solo, silakan. Kita akan lihat hasilnya.
“Kita lebih praktikal dan mahu bekerjasama untuk kemenangan mudah serta mempertahankan kerajaan Madani,” katanya dalam sidang media pada Ahad.
Beliau turut menegaskan bahawa PKR Sabah sedang mengkaji kawasan yang berpotensi untuk dimenangi tanpa terpengaruh dengan pengumuman awal parti lain mengenai calon atau kerusi mereka.
Sebagai contoh, katanya, di Tanjung Keramat, UMNO Sabah telah mengumumkan calon mereka.
“Namun, PKR Sabah belum menamakan calon sebelum membentuk pakatan konkrit bagi memastikan peluang kemenangan lebih besar.
“Sabah akan menjadi ujian pertama dalam siri pilihan raya negeri sebelum Melaka, Sarawak, Johor dan akhirnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Parti perlu memastikan strategi yang kukuh sebelum menghadapi pilihan raya,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mustapha mengesahkan 24 cabang PKR Sabah telah dibubarkan selepas mengadakan mesyuarat masing-masing, kecuali di Beaufort yang tertangguh akibat banjir.
Beliau juga memaklumkan mesyuarat-mesyuarat tersebut sebulat suara bersetuju jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.