KOTA BELUD: Seorang lelaki, 29 tahun ditemukan maut awal pagi tadi selepas dilaporkan hilang ketika menyelam mencari ikan di kawasan sungai Kampung Pirasan pada awal subuh hari Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.19 pagi.
“Menurut pemanggil mangsa bersama empat orang rakannya yang juga merupakan ahli keluarganya melakukan aktiviti menyelam mencari ikan pada jam 1.20 pagi.
“Mangsa disedari tidak timbul pada jam 1.30 pagi seterusnya rakan mangsa mencuba mencari dengan cara menyelam tapi tidak berjaya.
“Pasukan Bomba mengambil maklumat dan melakukan Operasi Setibanya dilokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dengan kaedah Surface jarak 200 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.
Operasi mencari dilakukan bersama PDRM dan penduduk kampung bagaimanapun pencarian tidak berjaya menemukan mangsa dan operasi ditangguhkan pada jam 3.55 pagi.
“Mangsa seterusnya dijumpai oleh orang kampung pada jam 8.30 pagi di lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan Bomba bersama penduduk kampung mengangkat mangsa ke tepi sungai dan seterusnya di serahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.