PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang terus komited dalam usaha membanteras penjualan bunga api dan mercun haram di daerah ini.
Polis Penampang dalam satu kenyataan memaklumkan, sebagai langkah proaktif, satu pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis yang menjual bunga api dan mercun oleh Inspektor Mohd Faiz Yusof, Pemangku Pegawai Pelesenan IPD Penampang yang melibatkan empat premis perniagaan di daerah Putatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada pelanggaran syarat berkaitan pengimportan, penyimpanan, penjualan, dan penggunaan bunga api bagi musim perniagaan.
“Lesen perniagaan serta kebenaran berniaga dipamerkan dengan jelas, manakala stok bunga api dan mercun disimpan dengan selamat mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Bagi memastikan keselamatan orang awam, had masa bermain mercun ditetapkan tidak melebihi jam 12 tengah malam dan hanya dibenarkan di kawasan yang lapang serta selamat,” katanya di sini pada Jumaat.
Pemeriksaan ini adalah sebahagian daripada usaha pemantauan dan kawalan oleh pihak polis bagi memastikan para peniaga mematuhi undang-undang serta garis panduan penyimpanan bahan letupan, sekaligus mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
Perlu diingatkan bahawa larangan bermain mercun dan bunga api masih berkuat kuasa di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).