Advertisement

Program Outreach Ketua Menteri Sasar Bantu 5,000 Peniaga Muda di Kawasan Kampung Dan Pedalaman seluruh Sabah – Sabah News

KOTA KINABALU: Program Outreach Ketua Menteri bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan Usahawan Muda menyasarkan untuk membantu seramai 5,000 peniaga muda di kawasan kampung dan pedalaman seluruh Sabah.

Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat Sabah (IKRAR), Azrul Ibrahim berkata, program tersebut merupakan program tahunan yang dilaksana kerajaan negeri dan diselia oleh IKRAR bersama rakan strategik dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Sabah. 

Justeru itu katanya, untuk tahun 2025 ni, Darau merupakan lokasi ke-10 penganjuran program ini yang kita sasarkan 100 orang setiap kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Melalui program ini, kita sasarkan seramai 5,000 orang peniaga muda di kampung-kampung di pedalaman dengan bantuan dan juga panduan daripada pimpinan termasuk wakil rakyat di kawasan dan juga pimpinan di kawasan-kawasan untuk mengenalpasti peniaga-peniaga muda yang aktif berjualan di kawasan tersebut yang hanya memerlukan kad pengenalan.

“Sebab kita tahu bantuan-bantuan kerajaan yang lain memerlukan dokumentasi yang agak rumit untuk mendapat bantuan dan melalui program ini ushawan yang layak akan menerima sejumlah RM500.

“Kita juga galakkan peniaga-peniaga ini untuk membuka akaun semasa dan melalui pembukaan akaun semasa peniagaan tersebut mereka berpeluang untuk memohon bantuan pada skala yang lebih besar, begitu prinsip sebenarnya program ini dilaksanakan.

“Walau bagaimanapun kita juga menggalakkan juga usahawan-usahawan ini untuk mengembangkan peniagaan masing-masing untuk membeli kelengkapan peniagaan untuk membeli peralatan-peralatan yang boleh membantu mereka untuk menambah modal peniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau bekrata demikian ketika ditemui media selepas Program Outreach Ketua Menteri bersama NGO dan Usahawan Muda di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, melalui IKRAR selain daripada usahawan belia atau usahawan muda ini pihaknya juga menggerakkan agenda pembangunan modal insan iaitu bantuan secara tidak langsung kepada orang muda di Sabah.

“Ini kita buat melalui pelaksanaan program ceramah motivasi, program dialog bersama dengan mahasiswa yang mana melalui program itu, pelajar-pelajar ataupun orang-orang muda boleh mengemukakan idea, pandangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan untuk dijadikan dasar dan program-program kerajaan.

“Dan program hari ini, program outreach ini pun sebenarnya lahir daripada pandangan orang muda melalui sesi libat urus yang kita laksanakan sebelum ini,” jelasnya.