SHAH ALAM: Seorang wartawan portal berita tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,000.
B. Nantha Kumar, 42, didakwa secara rasuah menerima wang tunai itu daripada Muhammad Zahid, seorang warganegara Pakistan sebagai dorongan untuk menurunkan dan tidak memuat naik mana-mana artikel berhubung sindiket kartel pekerja asing Pakistan di Malaysiakini.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di sini pada 11.45 malam 28 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjaramaksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh beserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.
“Pihak pendakwaan dengan rendah hati memohon kepada mahkamah untuk memberikan peringatan kepada tertuduh agar tidak menggangu saksi-saksi serta tidak memuat naik artikel atau komentar yang mungkin akan menjejaskan atau memprejudiskan kesnya pada masa hadapan,” katanya.
Peguam P. Purshotaman merayu jumlah jaminan rendah iaitu RM5,000 mengambil kira anak guamnya menanggung dua anak masing-masing berusia 18 dan 11 tahun.
Beliau berkata peranan Nantha Kumar adalah sebagai antara yang membantu mematahkan sindiket yang menggugat keselamatan negara dan telah menggadai nyawa untuk membantu kerajaan patut dipertimbang dalam memberi jaminan minimum.
“Anak guam saya merupakan seorang wartawan pemenang anugerah, sistem kehakiman kita berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, dan sekiranya satu jumlah jaminan dan syarat yang melampau dikenakan, beliau terpaksa meringkuk dalam penjara sehingga kes ini selesai.
“Beliau amat menghormati mahkamah dan telah hadir sendiri ke mahkamah apabila dimaklumkan pegawai penyiasat dua hari lepas, ini menunjukkan beliau menghormati proses mahkamah,” katanya.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membenarkan Nantha Kumar diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 April ini.
Sebelum ini, wartawan berkenaan direman empat hari bermula 1 Mac bagi membantu siasatan kes terbabit. — BERNAMA