RANA, SABAH – Program Jelajah Iftar 2025 yang ditaja oleh Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah diteruskan pada hari ini di destinasi ke-11, kawasan Parlimen Ranau, termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Karanaan, dan Paginatan. Meskipun hujan turun dengan lebat, ia tidak menghalang perjalanan program ini untuk terus berjalan lancar dan penuh meriah.
Majlis berbuka puasa ini dihadiri oleh kira-kira 600 orang, dengan 30 penerima dari golongan asnaf, ibu tunggal, dan warga emas menerima sumbangan duit raya daripada Sawit Kinabalu.
Antara yang turut hadir adalah Menteri Kewangan Sabah merangkap ADUN Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin, Pengarah UPPM Sabah Datuk Awang Kadin, Pengarah Eksekutif KTC Datuk Dexter Lau, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam, pemimpin-pemimpin tempatan, wakil KTC dan Pegawai UPPM.
Dalam sidang media, Datuk Masidi menyatakan bahawa tahun ini sekali lagi Ranau dipilih oleh UPPM dan KTC sebagai lokasi untuk mengadakan majlis berbuka puasa. Program ini bertujuan untuk mengundang golongan yang kurang bernasib baik serta pemimpin tempatan untuk berkumpul dan bersama-sama meraikan bulan Ramadan.
Beliau juga memuji KTC bahawa ini merupakan salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat oleh KTC, yang memberi sumbangan dan merapatkan hubungan silaturahim antara pelbagai kaum dan agama, membantu golongan yang memerlukan, serta berkongsi keuntungan syarikat bersama masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, KTC juga berjaya mengukuhkan kedudukannya di pasaran Brunei dengan kerjasama kerajaan Brunei menyediakan gudang hab KTC Brunei yang terbesar. Hab KTC Brunei yang baharu kini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran KTC di Brunei. Kejayaan ini membuktikan kestabilan dan daya saing KTC di pasaran antarabangsa, menjadikannya salah satu syarikat paling berjaya dalam industri pengedaran dan perdagangan di Brunei.