Advertisement

Najib Dilepas Tanpa Dibebaskan Oleh Mahkamah Tinggi Babit Kes Gubah Wang Haram RM27 Juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat mengeluarkan perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkaitan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sebanyak RM27 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim K Muniandy setelah mempertimbangkan permohonan daripada pasukan pembelaan Najib, yang berhujah bahawa kes tersebut telah berlarutan tanpa sebarang perkembangan sejak ia mula difailkan pada tahun 2019.

“Mahkamah mendapati perbicaraan terhadap tertuduh masih belum bermula walaupun pertuduhan telah dikenakan lebih lima tahun lalu. Ini bukan satu keadaan yang adil bagi mana-mana tertuduh,” kata Hakim Muniandy.

Menurut beliau, perintah DNAA adalah paling sesuai dalam keadaan ini kerana pihak pendakwaan masih berhak memulakan semula prosiding pada masa akan datang sekiranya mereka bersedia.

Hakim turut menyatakan bahawa penangguhan berpanjangan telah menyebabkan sistem kehakiman dimanipulasi sehingga menimbulkan kesan tidak adil kepada tertuduh. Beliau menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang perlu ditegakkan bagi mengelakkan ketidakadilan terhadap tertuduh yang terus berada dalam ketidaktentuan selama bertahun-tahun.

Terdahulu, pada 11 Jun lalu, Najib gagal dalam usahanya untuk menggugurkan ketiga-tiga pertuduhan apabila representasi beliau ditolak oleh Jabatan Peguam Negara. Peguam bela beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, kemudiannya memohon agar mahkamah memberikan DNAA memandangkan kes itu telah tertangguh lebih enam tahun.

Najib didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan menerima dana haram berjumlah RM27 juta ke dalam akaun peribadi beliau di AmIslamic Bank pada 8 Julai 2014. Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya jika disabitkan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dalam kes lain melibatkan dana RM42 juta daripada SRC International. Beliau mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang diputuskan sebelum ini.

Bagaimanapun, hukuman itu telah dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan pada Januari 2024, dengan tempoh penjara disingkatkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.