Advertisement

Dua Lelaki Diberkas, Rempuh Kereta Polis dan Langgar Kereta Orang Awam

TAWAU: Tindakan nekad dua lelaki merempuh kenderaan polis dan melanggar beberapa kenderaan orang awam dalam cubaan meloloskan diri daripada ditahan, tular di media sosial sejak malam Ahad.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.45 petang di kawasan lampu isyarat Batu 3 Jalan Apas itu berjaya dirakam orang awam dan mendapat perhatian ramai susulan aksi berbahaya yang turut membahayakan pengguna jalan raya lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, insiden berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Tawau sedang menjalankan serbuan menerusi Op Tapis selepas mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan serbuan bertindak mengekori kenderaan terbabit sebelum cuba menyekatnya berhampiran kawasan perindustrian Batu 3. Namun suspek bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis dan melanggar beberapa kenderan milik orang awam,” katanya semalam.

Menurutnya, suspek turut melarikan diri ke arah lampu isyarat Jalan Apas dan terus memandu secara melulu sehingga melanggar beberapa lagi kenderaan awam di sepanjang laluan.

“Kedua-dua suspek akhirnya berjaya ditahan selepas pasukan polis mengepung kenderaan mereka di lokasi kejadian,” katanya.

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menjumpai sebuah beg kain di bawah brek tangan yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.13 gram dengan anggaran nilai RM400.

Jelasnya, kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan seorang lagi warga asing berusia 18 tahun itu turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan usaha mengesan individu lain masih diteruskan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang bertindak agresif, melawan arus undang-undang dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” tegas beliau.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak melindungi atau bersekongkol dengan mana-mana pengedar dadah, serta menyeru kerjasama semua pihak untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah atau dadah melalui saluran rasmi polis.

“Kerjasama orang awam amat penting dalam membantu pihak polis membanteras jenayah, khususnya pengedaran dadah yang menjadi ancaman utama kepada keselamatan komuniti,” katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan ke IPD Tawau atau melalui talian hotline Polis Daerah Tawau di talian 089-772121 yang beroperasi 24 jam atau melalui aplikasi VSP.