KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya menggagalkan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Kampung Sindaanan, Kobusak, Penampang pada 15 Julai lalu.
Serbuan jam 6.53 petang itu berjaya merampas 16,180 liter diesel, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan pelbagai peralatan dengan nilai keseluruhan RM53,527.00.
Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan untuk siasatan.
Menurut Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, premis tersebut tidak memiliki lesen sah menyimpan barang kawalan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Beliau turut mengingatkan stesen minyak agar tidak menjual bahan api bersubsidi tanpa kebenaran KPDN.
Sejak 1 Januari hingga 16 Julai 2025, KPDN Sabah telah membuka 1,179 kes dengan rampasan mencecah RM22.2 juta, serta menerima 1,112 aduan pengguna, di mana 92.7 peratus telah diselesaikan.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat penyelewengan melalui saluran rasmi seperti WhatsApp (019-279 4317), portal e-aduan, dan aplikasi Ez ADU KPDN.