Advertisement

KERAJAAN NEGERI HARGAI SUMBANGAN MASYARAKAT CINA – KM HAJIJI

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sokongan berterusan masyarakat Cina sebagai rakan dalam kemajuan dan pembangunan negeri.

“Dengan sokongan kukuh ini, saya percaya Sabah akan terus berada di landasan yang betul di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya dalam ucapan sempena Festival Angpow Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di Dewan Hakka di sini, semalam.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, masyarakat Cina di Sabah telah lama memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, perdagangan, pendidikan, kebudayaan, serta kebajikan sosial.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua organisasi yang sehaluan, termasuk FCAS yang menghargai kestabilan politik, bagi memastikan pembangunan ekonomi dan kemajuan negeri tidak terhalang.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.