KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah meraikan seramai 30 pelajar di sekolah tersebut dengan membeli kelengakapan pakaian untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Yang Dipertua PIBG SM Maktab Sabah Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, pihaknya akan terus menyantuni pelajar sekolah berkenaan khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
Justeru itu katanya, inisiatif ini juga merupakan antara peranan dan sokongan PIBG sekolah dalam memastikan mereka turut sama meraikan sambutan suatu perayaan yang disambut.
“Program pada hari ini, kita sudah sedia maklum, pada bulan-bulan yang penuh mulia, penuh berkat, PIBG akan sentiasa menyantuni pelajar-pelajar.
“Ini adalah antara peranan PIBG yang mana tidak meninggalkan murid supaya kita memberi sokongan dan memberi barang-barang keperluan khususnya kepada pelajar-pelajar yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Pembelian Baju Raya Pelajar Asnaf di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai perancangan aktiviti PIBG, Arif berkata, pihaknya juga akan melaksanakan program berbentuk kemenjadian pelajar seperti sahsiah pelajar, program-program motivasi dan program-program persiapan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ini antara program-program kita yang sentiasa laksanakan setiap tahun. Jadi dalam bulan Ramadan, kita akan mengadakan satu program lagi bubur lambuk yang akan diagihkan kepada masyarakat dan akan dibuat gotong royong antara NGO-NGO dengan ibu bapa dan PIBG pada Sabtu ini,” katanya.