KOTA KINABALU: Lebih 6,000 orang termasuk perwakilan dan pemerhati dijangka akan menghadiri Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang akan diadakan hujung minggu ini.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai makluman juga, keahlian parti itu telah pun mencecah lebih kurang 304,817 orang dengan 6,977 cawangan.
“Jadi, inilah parti yang kita gerakkan untuk memberi khidmat kepada rakyat terutama sekali menjelang pilihan raya akan datang.
“Ini kerana, semua parti termasuk parti yang saya pimpin ini dan juga parti-parti komponen GRS akan mempersiapkan diri menghadapi PRN yang akan diadakan selewat-lewatnya Oktober tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat di sini, hari ini.
Tambah Hajiji, persidangan itu nanti akan membahaskan beberapa usul termasuk membahas ucapan dasar Presiden, usul mengenai ekonomi dan pendidikan.
“Jadi kita juga telah menetapkan para perwakilan yang akan mengambil bahagian untuk membahaskan usul-usul yang akan dibentangkan di dalam persidangan ini,” jelasnya.
Persidangan Agung Tahunan parti itu akan diadakan pada 8 hingga 10 November ini yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).