Advertisement

Gagasan Rakyat Hanya Akan Bertanding Kerusi Boleh Menang – Sabah News

Nizam
Hadirin Seminar Pusat Parti Gagasan Rakyat Sabah yang kedua di SICC pada Jumaat

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hanya akan bertanding untuk kerusi yang diyakini boleh dimenang pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata calon-calon parti meliputi yang baharu dan lama, wanita dan juga lelaki.

“Kita hanya akan memilih mereka yang kita yakin dapat memimpin dan mewakili parti untuk meneruskan perjuangan dan membela rakyat Sabah.

“Buat masa ini saya tidak boleh nyatakan berapa ramai adalah muka baharu tetapi presiden kita (Datuk Seri Hajiji Noor) sentiasa melihat potensinya,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Seminar Penerangan Pusat tahun kedua parti itu yang dihadiri kira-kira 300 ahli di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.

“Kami juga merasakan perkara yang sama dengan Parti Bersatu Sabah (komponen Gabungan Rakyat Sabah) dalam menjadikan parti tempatan dominan.

Ia selaras dengan matlamat kepimpinan parti untuk mendahulukan Sabah iaitu juga salah satu teras perjuangan kita.

“Tetapi kita masih jaga parti yang berpusat di Semenanjung,” katanya ketika diminta mengulas hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di semua 73 kerusi.

Merasmikan program itu ialah Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Pendidikan Negeri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Katanya, beliau akan bekerjasama dengan Pengarah Pendidikan Negeri untuk mengenal pasti empat pelajar sekolah rendah di Papar yang dilaporkan ke bersekolah tanpa wang saku kerana bapa mereka yang penjawat awam terjerumus dengan ketagihan judi dalam talian.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin minggu lalu.

“Kita menasihatkan ibu bapa dan anak-anak supaya tidak terlibat dengan aktiviti sebegitu kerana boleh mendatangkan kerugian.

“Kanak-kanak Sabah di mana-mana terutamanya daripada golongan B40 atau e-Kasih yang memerlukan bantuan akan diberikan.

“Di Sabah kita ada MUIS, Yayasan Sabah dan kerajaan negeri yang menyediakan pelbagai bantuan kewangan dan biasiswa. Jika mereka ini tidak dapat membantu maka kita juga ada Tabung Pendidikan Negeri.

“Ini semua diilhamkan oleh Ketua Menteri untuk menamatkan masalah berkaitan pendidikan. Beliau dengan tegas menyatakan tiada sebab untuk rakyat Sabah tidak meneruskan pengajian,” katanya.