GLOBAL: Manchester United dilaporkan secara rasmi telah memecat pengurus mereka Erik ten Hag.
Pengurus berusia 54 tahun itu dimaklumkan oleh Manchester United mengenai keputusan mereka pada pagi Isnin waktu tempatan.
Manakala, Ruud van Nistelrooy pula telah dilaporkan akan mengambil alih posisi ini buat sementara dengan para staf yang lain akan kekal dalam posisi mereka buat masa ini.
Manchester United dalam satu kenyataan berkata, Erik ten Hag telah meninggalkan peranannya sebagai jurulatih pasukan utama Manchester United.
“Erik dilantik pada April 2022 dan membawa kelab ini merangkul dua piala domestik, iaitu Piala Liga Inggeris(Carabao Cup) pada 2023 dan Piala FA pada 2024.
“Kami amat berterima kasih kepada Erik atas segala yang telah dilakukannya semasa menguruskan pasukan ini dan kami mendoakan yang terbaik untuknya pada masa hadapan.
“Ruud van Nistelrooy akan mengambil alih sebagai pengurus sementara dan disokong oleh para staf kejurulatihan yang ada ketika ini sementara kelab mencari pengganti,” ujar kenyataan rasmi kelab itu hari ini.