Advertisement

penggodam warga pakistan curi 400 juta data, jual kepada pengutip hutang

Kuala Lumpur: Kegiatan penggodam warga Pakistan mencuri 400 juta data digital warga tempatan terbongkar menerusi serbuan Ops Kapas di premis sekitar ibu negara, 5 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, data terbabit diperoleh menerusi penggodaman data milik syarikat dan agensi berkaitan.

Katanya, sindiket dikesan menjual data peribadi antaranya nombor kad pengenalan, nombor telefon, akaun bank dan alamat kediaman menerusi portal dalam talian bernama Query Smart Search.

“Kegiatan ini mula dikesan oleh CyberSecurity Malaysia setelah melaksanakan pemantauan terhadap satu laman web yang didapati memiliki maklumat pengguna, dipercayai berdaftar dengan pelbagai syarikat dan agensi.

“Akses kepada portal ini diberikan secara sewaan kepada individu yang berminat dengan kadar RM200 hingga RM800 sebulan.

“Terdapat juga sebahagian data yang dijual secara terus kepada pembeli dengan nilai antara RM1.50 hingga RM2 bagi setiap data,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Ramli berkata, empat lelaki tempatan ditahan bersama lelaki Pakistan yang menjadi dalang sindiket itu, yang termasuk ejen dan pengutip hutang yang membeli data haram terbabit.

“Lelaki Pakistan berusia 47 tahun itu didapati memasuki Malaysia sebagai pekerja am kira-kira 10 tahun lalu tetapi dipercayai bergiat sebagai penggodam dalam setahun.

“Pelanggan mereka setakat ini yang dikesan terdiri dari golongan pengutip hutang, mungkin along sendiri untuk mengesan orang yang berhutang dan sebagainya.

“Data-data ini ada pelbagai guna sebenarnya termasuk mencuri identiti, tetapi dalam kes ini setakat yang kita nampak (siasatan), ia dijual kepada pengutip hutang,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan ‘orang dalam’, beliau berkata, perkara itu tidak dapat disahkan lagi kerana siasatan masih di peringkat awal.

Beliau menasihati pemilik syarikat dan agensi berisiko mengalami kebocoran data untuk mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan bank data masing-masing.