SYDNEY, AUSTRALIA – Buaya terbesar dalam kurungan di Australia, dipercayai berusia 110 tahun mati.
Memetik sumber Reuters, perkara itu disahkan pusat perlindungan haiwan liar, Marineland Melanesia Crocodile Habitat di Facebook.
Cassius, buaya sepanjang 5.48 meter dan mempunyai berat lebih satu tan, mati kerana mengalami kemorosotan kesihatan sejak 15 Oktober lalu.
“Ia sangat tua dan dipercayai hidup melebihi usia biasa buaya liar. Ia akan dirindui selamanya,” kata pusat perlindungan itu yang terletak di Pulau Hijau berhampiran bandar pelancongan Queensland, Cairns.
Menurut laman web pusat perlindungan haiwan liar itu, Cassius sudah lama ditempatkan di tempat perlindungan itu sejak 1987.
Ia dipindah dari wilayah utara negara berkenaan di mana buaya antara tarikan terpenting dalam industri pelancongan kawasan itu.
Cassius dari spesies buaya air masin memegang gelaran Rekod Dunia Guinness sebagai buaya terbesar dalam kurungan.
Pada 2013, Cassius ‘merampas’ gelaran itu selepas kematian Lolong, buaya Filipina yang memiliki panjang 6.17 meter.