KOTA KINABALU: Polis menahan 21 orang remaja bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di gelanggang futsal Tebobon berhampiran sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kesemua daripada mereka adalah pelajar sekolah membabitkan pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima.
Menurutnya, kesemua mereka yang di bawah umur ditahan pada Khamis dan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kejadian ini berpunca dari perselisihan faham yang berlaku sebelum ini. Mangsa telah dipukul beramai-ramai, dan mengalami sakit pada beberapa bahagian badan.
“Mangsa telah hantar ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Setakat ini tindakan masih di jalankan untuk melengkapkan kertas siasatan,” tambah Kasim.