Advertisement

Ewon Ganti Christina Sebagai Pengerusi PH Sabah Baharu – Sabah News

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dipilih menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu untuk penggal 2024 hingga 2026.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dipilih ke jawatan tersebut dalam mesyuarat agung PH Sabah yang diadakan di sini, hari ini.

Semasa ditemui selepas mesyuarat agung, Ewon menyatakan pemilihan tersebut merupakan tanggungjawab besar yang perlu digalas bagi memastikan jentera PH Sabah dan Kerajaan MADANI dapat memberi masa depan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.

“PH Sabah mempunyai autonomi dalam menentukan tadbir urus dan kerjasama politik. Keputusan mesyuarat agung PH Sabah hari ini telah memenuhi semua kehendak perlembagaan PH dan telah berjalan dengan lancar.

“Saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada Datuk Seri Panglima Christina Liew di atas sumbangan besar beliau sepanjang menjadi Pengerusi PH Sabah selama ini,” katanya.

Ewon menyatakan tidak timbul perasaan gabungan PH mesti diterajui oleh parti tempatan kerana ianya mempunyai wawasan dan matlamat yang lebih besar iaitu memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.

“Sama ada Pengerusi PH Sabah diterajui oleh parti PKR, DAP, AMANAH atau UPKO, ianya perkara secondary. PH Sabah mengambil bahagian dalam proses kepimpinan dan demokrasi negara kerana mahu memastikan hak pembangunan, hak perlembagaan dan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.

“PH Sabah juga mahu memastikan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim terus stabil bagi membangunkan Persekutuan Malaysia,” katanya.