Advertisement

Usahawan Mikro Catat RM23 Juta Peningkatan Hasil Jualan Melalui Program Bimbingan INSKEN – Sabah News

KUALA LUMPUR: Usahawan mikro berjaya mencatatkan peningkatan RM23 juta hasil jualan kepada ekonomi negara melalui pelaksanaan Program Bimbingan INSKEN sepanjang tahun ini, di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian itu daripada pelaksanaan 19 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), lima Program Bimbingan Keuntungan Menu dan empat Program INSKEN Start-Up Coaching yang disertai 815 usahawan.

“Program Bimbingan INSKEN juga berjaya mewujudkan 468 pekerjaan baharu, 60 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil dan meningkatkan 10 peratus purata margin keuntungan.

“Saya amat yakin kejayaan usahawan-usahawan INSKEN akan memberi inspirasi dan motivasi kepada semua usahawan atau bakal usahawan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2024, di Hotel Tenera Bangi, semalam.

Pada majlis ini seramai 294 usahawan yang mengikuti Program IBBC, Program Bimbingan Keuntungan Menu dan Program INSKEN Start- Up Coaching masing-masing menerima sijil tamat kursus.

Ewon berkata, melalui program itu, usahawan berjaya meningkatkan hasil jualan RM9.3 juta, mewujudkan 130 peluang pekerjaan baharu, 23 perniagaan bertukar status mikro kepada kecil dan 245% peningkatan skor diagnostik.

Beliau berkata, KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya termasuk INSKEN akan memanfaatkan sebaiknya peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk melaksanakan pelbagai inisistif pembangunan kapasiti usahawan.

Beliau juga berharap agar para usahawan yang mempunyai pembiayaan daripada agensi-agensi pembiayaan KUSKOP membayar balik pinjaman.

“Pembayaran semula itu akan melahirkan ramai usahawan baharu yang juga memerlukan modal pusingan ataupun modal permulaan daripada agensi-agensi pembiayaa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, INSKEN sentiasa mengutamakan keberhasilan program agar dapat memberi impak positif kepada usahawan mikro khususnya.

“Khidmat bantuan berbentuk program latihan dan bimbingan keusahawanan juga akan sentiasa berada di tahap optimum,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi INSKEN Mustaffa Kamil Ayub, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh dan Puan Noor Afifah Abdul Razak.