Advertisement

Sabah Electricity Terima RM161.7 Juta Subsidi ICPT 2024 Dari Kerajaan Persekutuan – Madius – Sabah News

KOTA KINABALU: Sabah Electricity telah menerima bayaran subsidi sebanyak RM161.7 juta bagi menampung Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) tahun 2024.

Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pembayaran itu telah diterima daripada Kerajaan Persekutuan pada 23 Disember lalu.

“Jumlah itu merupakan bayaran bagi menggantikan semula wang yang telah dibelanjakan Sabah Electricity bagi menampung kos ICPT.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana prihatin mendengar keperluan dan permohonan kita sekali gus membolehkan Sabah Electricity terus dapat beroperasi membekalkan bekalan tenaga di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

November lalu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran dalam Persidangan Parlimen Dewan Rakyat telah membangkitkan kebimbangan bahawa Sabah mungkin bergelap semasa sambutan Krismas dan menjelang sambutan Tahun Baru sekiranya kerajaan tidak membuat pembayaran subsidi tersebut.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah yang juga memperuntukkan subsidi ICPT sebanyak RM50.9 juta kepada Sabah Electricity.

“Seperti yang telah diumumkan Ketua Menteri pada 20 Disember 2024, pengecualian surcaj ICPT telah dipersetujui untuk diteruskan bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 30 Jun 2025.

“Untuk tujuan ini, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan 50.9 juta untuk membantu meringankan beban pengguna.

“Selaku Pengerusi Sabah Electricity saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Kerajaan Sabah atas keprihatinan dan pemberian subsidi ini,” katanya.