TAMBUNAN: Proton Wira Dan Perodua Kembara bertembung lalu terbabas ke tepi jalan dalam kejadian kemalangan di Jalan Mangi Pangi Tambunan, semalam.
Kejadian kemalangan itu turut melibatkan tiga orang mangsa, iaitu seorang wanita mengalami kecederaan dan dua lagi mangsa lelaki dilaporkan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.37 malam.
“Seramai lapan anggota bomba dari BBP Tambunan telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 8 kilometer dan tiba pada jam 8.46 malam.
“Seorang perempuan dewasa mengalami kecederaan telah dihantar oleh orang awam ke Hospital Tambunan untuk mendapat rawatan lanjut sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
“Manakala dua mangsa lelaki dewasa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pasukan Bomba seterusnya bertindak menjalankan pemeriksaan memastikan tiada bahaya lain yang wujud dan setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.01 malam.