TAMBUNAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan kejayaan menyelamatkan seorang wanita hamil yang sedang bersalin ketika kejadian tanah runtuh di Jalan Ranau-Tambunan, Kampung Pahu, pagi Rabu.
Kejadian jam 7.26 pagi itu menyebabkan jalan utama terputus, menghalang laluan ambulans dan kenderaan kecemasan.
Pasukan kesihatan dari Klinik Desa Tontolob segera melakukan penilaian awal dan menstabilkan pesakit sebelum pemindahan ke hospital.
Menurut JKNS, wanita itu berada dalam fasa aktif kelahiran dan perlu dipindahkan segera ke hospital.
Pasukan retriever dari Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Daerah Tambunan dikerahkan dengan sebuah ambulans setelah menerima panggilan daripada IPD Tambunan.
Oleh kerana laluan utama terhalang, pasukan penyelamat dengan bantuan IPD Tambunan, penduduk kampung, dan orang awam menggunakan laluan alternatif untuk membawa pesakit ke Hospital Keningau.
Sebaik tiba, pesakit segera menjalani pembedahan kecemasan (EMLSCS) kerana tanda-tanda bayi mengalami kesukaran dalam kandungan.
Pembedahan berjaya, dan ibu serta bayi kini dalam keadaan stabil.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Maria Suleiman, mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk PDRM, JKR, pasukan perubatan, dan penduduk setempat.
“Kejayaan misi ini membuktikan pentingnya kerjasama antara agensi dalam menghadapi kecemasan.
“Dengan usaha gigih pasukan penyelamat dan sokongan komuniti, akses perkhidmatan kesihatan tetap terjamin walaupun dalam keadaan mencabar,” katanya.