KUALA LUMPUR: Tidak mahu ketinggalan bagi merancakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, penyanyi Ara Johari pada Sabtu melancarkan single Zapin Malam Raya.
Mengangkat genre irama zapin Melayu, lagu ciptaan Affan Mazlan bersama Syafiq Al Gambus ini turut menampilkan kumpulan pelawak dari Pantai Timur, Trio Latah sebagai penyanyi undangan.
“Sebenarnya, Ara ada rancangan keluar lagu raya tahun ini tapi tak jumpa demo yang sesuai. Dalam pada sedang mencari-cari tu Ara jumpa Affan minggu lepas.
“Alhamdullilah, hasil pebincangan singkat itu terhasil lagu ini,” ujarnya.
Lebih istimewa, katanya, lagu ini juga menampilkan sisi lain Ara Johari yang sebelum ini tidak pernah membawakan lagu-lagu irama Malaysia.
Apa yang menarik, Zapin Malam Raya ini mengetengahkan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan.
“Ini kali pertama saya bawa lagu genre irama Malaysia. Mungkin kedengaran sedikit berlainan dengan suara Ara yang biasa dengan lagu rock.
“Ara juga teruja apabila lagu ini menyelitkan dialek-dialek negeri iaitu Negeri Sembilan dan Kelantan yang mana jalan ceritanya tentang suami yang teruja apabila tiba giliran balik raya ke kampungnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, muzik video lagu ini juga dalam proses penggambaran dan dijangka boleh ditonton pada minggu hadapan.
Lagu Zapin Malam Raya ini diedarkan oleh Universal Music Malaysia dan boleh didengari di semua platform digital bermula 19 Mac ini.