Advertisement

Bung Pertahan Bos Zahid, Sindir Jeffrey Tapi Abaikan Cengkaman Pusat ke Atas Sabah – Sabah News

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah tampil mempertahankan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dengan menyindir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang mempertahankan slogan “Sabah for Sabahan”.

Dalam satu kenyataan, beliau memetik sejarah namun menafikan realiti semasa dengan menuduh Jeffrey bermain retorik yang memecah belah.

Bung berkata Dr Jeffrey yang hari ini mendakwa kononnya pejuang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dahulu ketika menjadi pembangkang banyak berjanji namun tiada yang menjadi.

Kenyataan itu datang daripada seorang pemimpin yang partinya sendiri telah berada dalam kerajaan selama berdekad.

Anehnya, Sabah masih terpaksa bergelut dengan isu asas seperti air bersih dan elektrik stabil.

Bung juga berkata retorik MA63 diulang setiap musim pilihan raya tetapi selepas menang, rakyat hanya disajikan alasan.

Beliau seolah-olah lupa bahawa UMNO juga pakar dalam menghidangkan janji manis menjelang pilihan raya dan senyap selepas itu.

Dalam nada yang cuba mengajar erti kesederhanaan, Bung memetik nama Tun Datu Mustapha, sebagai tokoh yang memperjuangkan hak Sabah dengan “membina jambatan kepercayaan antara Persekutuan.”

Namun, Bung tidak menyebut bagaimana kepercayaan itu sering dimanipulasi pihak pusat untuk melemahkan suara negeri.

Beliau juga menyindir slogan “Sabah for Sabahan” sebagai dinding pemisah, sambil menyatakan beliau tidak mahu Sabah terus menjadi mangsa percaturan slogan.

Walau bagaimanapun, Bung tidak menyebut siapa sebenarnya yang berkuasa tetapi gagal menyelesaikan masalah itu sejak sekian lama.

Dalam kenyataan penuh dengan mesej “jangan lawan pusat”, Bung mendakwa hak Sabah kini dihormati dan sedang dikembalikan secara berperingkat melalui rundingan dan diplomasi.

Meskipun begitu, kenyataan beliau lebih berbunyi seperti jaminan kosong terutama kepada rakyat yang sudah muak mengharapkan rundingan tanpa hasil konkrit.

“Kita hadir waktu mereka (rakyat) memerlukan, bukan hanya ketika mahu undi,” Bung berkata.

Tetapi, kalau dilihat dari nada keutamaan kenyataan beliau, nampaknya yang lebih utama bagi Bung adalah mempertahankan bos di Putrajaya daripada membela hak rakyat Sabah itu sendiri.