Advertisement

Hak Pekerja Sabah Lebih Terpelihara di Bawah SLAC – Sabah News

KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Buruh Sabah (SLAC) yang baru ditubuhkan akan membantu melindungi hak pekerja serta mengharmonikan hubungan tripartite antara kerajaan, majikan dan pekerja di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Penubuhan SLAC akan memastikan hak dan kebajikan pekerja di Sabah terjaga dan terbela di samping membantu majikan menjalankan perniagaan dengan lebih teratur dan tersusun.

“Oleh itu, adalah amat diharapkan penubuhan SLAC ini akan menjadi satu platform kepada majikan dan pekerja untuk berkongsi pandangan dan memberi cadangan berkaitan perkara-perkara perburuhan kepada kerajaan agar dasar-dasar dan perundangan yang lebih sesuai dengan perindustrian negeri Sabah dapat diterjemahkan,” katanya.

Berucap pada majlis pelantikan ahli tetap SLAC dan mesyuarat pertama yang berlangsung di Shangri-La Tanjung Aru hari ini, Hajiji berkata peranan SLAC adalah untuk memperkukuh
hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri serta Kementerian Sumber Manusia Persekutuan.

Ucapan Ketua Menteri itu disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Perbincangan tripartite antara kerajaan, majikan dan pekerja ini adalah selaras dengan Konvensyen Standard Buruh Antarabangsa Perundingan Tiga Pihak 1976 No.144, katanya.

Hajiji berharap ahli majlis yang terdiri daripada 16 wakil kerajaan, 16 daripada persatuan majikan dan 16 daripada kesatuan pekerja dapat memainkan peranan mereka dan memberi input yang
berharga kepada kerajaan demi pembangunan ekonomi Sabah.

“Setiap keputusan yang dibuat dalam mesyuarat SLAC akan dibawa kepada perhatian Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Hajiji berkata, pengumuman Perdana Menteri semasa sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan tahun ini merupakan satu titik tolak penting dalam pentadbiran buruh di Sabah.

“Ia akan memastikan isu-isu berkaitan seperti pembasmian buruh paksa, diskriminasi di tempat kerja dan gangguan seksual; perlindungan wanita dan kanak-kanak; pengurusan pekerja bukan pemastautin; waktu kerja fleksibel; perumahan dan penginapan; serta kemudahan pekerja dapat terus diperkasa,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian kepada semua isu berkaitan pekerja akan memberi impak positif kepada Sabah, terutamanya dalam sektor ekonomi kerana tenaga kerja yang stabil dan keberkesanan sistem perundangan buruh adalah elemen penting dalam menarik pelabur ke negeri ini.

Ketua Menteri berkata bagi memastikan pelaksanaan pindaan Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dapat berjalan lancar, Kerajaan Negeri akan terus mempertingkat kerjasama
dengan semua pihak berkepentingan.

“Saya juga menyeru semua majikan dan pemain industri untuk menyambut baik inisiatif ini dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh patriotik demi kepentingan bersama,” katanya.

Ketua Menteri berkata kerjasama antara kerajaan, majikan dan pekerja adalah amat penting dalam pembentukan SLAC bagi memastikan Agenda Pekerjaan Bermaruah (Decent Work
Agenda), yang merupakan aspirasi utama Pertubuhan Buruh Antarabangsa, dapat dilaksanakan.

“Di Sabah, aspirasi ini selari dengan pembangunan negeri yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Menjadi tanggungjawab kita untuk
memastikan prinsip Agenda Pekerjaan Bermaruah bukan sekadar slogan, tetapi diterapkan dalam setiap dasar, amalan dan tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan kadar gaji minimum bulanan daripada RM1,500 kepada RM1,700 melalui Perintah
Gaji Minimum 2024.

“Kita mesti memastikan setiap pekerja di Sabah menerima gaji yang setimpal dengan sumbangan mereka,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Tenaga Kerja Sabah atas pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan melalui Pemeriksaan Berkanun, Siasatan Aduan dan Pengendalian Kes
Mahkamah Buruh pada tahun lalu yang telah memberi manfaat kepada 13,487 pekerja melibatkan jumlah sebanyak RM22.2 juta.

Selain itu, katanya, keutamaan juga harus diberikan kepada keselamatan dan kesihatan serta memperkukuhkan perlindungan sosial pekerja melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Sistem Insurans Pekerjaan.

Langkah lain termasuk meningkatkan peluang untuk pembangunan kemahiran dan kerjaya, serta menegakkan kebebasan bersuara dan hak untuk berpersatuan melalui kesatuan sekerja.

“Undang-undang buruh bukanlah satu bentuk tekanan terhadap majikan tetapi satu mekanisme untuk memastikan kelangsungan dan keharmonian dalam hubungan pekerjaan.

“Apabila pekerja dilindungi dan dihargai, produktiviti akan meningkat dan ekonomi akan berkembang maju. Inilah falsafah yang ingin kita terapkan melalui SLAC,” katanya.