KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N25 Kapayan, Jannie Lasimbang, meluahkan rasa kesal atas pengumuman Cyril Liew untuk meletak jawatan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan bertanding sebagai calon bebas dalam PRN17.
Cyril membuat pengumuman itu malam tadi dalam satu program bersama Ahli Parlimen Kudat, Verdon Bahanda.
“Saya kesal dengan keputusan Cyril untuk keluar dari DAP. Sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) bagi N25 Kapayan, saya telah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk membantu saya dalam pelbagai tugasan demi memastikan projek dan aduan rakyat Kapayan diuruskan dengan baik. Saya tidak menyangka beliau akan berpaling tadah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Jannie berkata, DAP Sabah telah mengesahkan penerimaan surat peletakan jawatan daripada Cyril Liew. Cyril juga tidak memegang sebarang jawatan dalam DAP.
Beliau turut menjelaskan: “Segala hasil kerja baik yang dikatakan oleh Cyril adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai PPM dan merupakan usaha daripada pasukan yang saya bentuk.
“Saya menafikan sebarang dakwaan berhubung pengabaian kebajikan staf saya. Apain Soriun, yang kini menyebarkan fitnah dan kebencian di laman Facebooknya, telah ditamatkan perkhidmatan kerana prestasi kerja yang lemah serta keengganan berterusan untuk hadir ke pejabat dan mesyuarat.
“Tiada nilai dalam pendakian lebih tinggi jika terpaksa memijak tangan yang pernah mengangkatmu,” tegasnya.