KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjelaskan bahawa gangguan bekalan air yang berlaku di kampus berpunca daripada paras air di Tangki R13 yang tidak konsisten dan sering berada di bawah tahap minimum, khususnya pada waktu puncak.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, tangki tersebut bukan digunakan secara eksklusif oleh UMS, sebaliknya turut membekalkan air ke kawasan utara Kota Kinabalu seperti Sepanggar, KKIP, taman perumahan dan Hospital Likas.
“Walaupun Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melaporkan 34 juta liter air dibekalkan ke tangki itu setiap hari, UMS menegaskan bahawa jumlah tersebut dikongsi oleh banyak pihak dan tidak mencukupi untuk menampung permintaan keseluruhan.
“Manakala sistem pam sedia ada di kampus masih berfungsi dengan baik dan bukan punca kepada masalah bekalan air.
“Sebagai langkah sementara, UMS sedang membina tangki imbangan baharu berkapasiti 3.5 juta liter, menggunakan telaga tiub, serta mengedarkan air berbotol dan bantuan lori air dengan kerjasama JANS,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
UMS optimis isu ini akan diselesaikan sepenuhnya apabila Loji Rawatan Air Telibong 2 Fasa 2 siap dalam tempoh dua bulan akan datang.