KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menangkap di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang Kota Belud pada Isnin, ditemukan meninggal dunia oleh orang kampung pada pagi tadi.
Mangsa, Noordin Punjuh, 51 tahun dijumpai oleh orang kampung pada jam 12.56 pagi di jarak 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pasukan Bomba bertindak mengambil mayat mangsa seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Semalam, Syazwan dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan dari adik kepada mangsa mengenai kejadian orang hilang di sungai pada jam 8.28 pagi.
“Menurut pemanggil mangsa keluar dari rumah pada jam 11:00 pagi 24/11/2024 untuk menjalankan aktiviti menangkap di kawasan sungai Lebak Moyoh dan keluarga mangsa menyedari mangsa tidak balik ke rumah.
“Dalam jam lebih kurang jam 10 malam, adik kepada orang hilang telah ke sungai tersebut untuk mencari abangnya tetapi hanya menemui jala, beg pinggang, telefon, selipar dan baldi di tepi sungai,” katanya.
Katanya, seramai 14 anggota pasukan bomba dari BBP Kota Belud telah dikejarkan ke lokasi untuk mencari mangsa bersama dua anjing pengesan, iaitu Unit K9 serta agensi lain termasuk 13 anggota PDRM, tiga anggota APM dan 35 orang kampung.
Bagaimanapun, katanya pencarian dari pagi hingga malam kelmarin tidak berjaya menemui mangsa, dan pada jam 12.56 pagi tadi akhirnya mangsa berjaya ditemui oleh orang kampung namun dilaporkan, mangsa sudah meninggal dunia.