NABAWAN, SABAH – Projek pembinaan Coffee House dan Café Coffeelive Sepulut merupakan usaha kerajaan ke arah memajukan industri kopi di Sabah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek dengan kos keseluruhan RM2.24 juta tersebut merupakan inisiatif penting kerajaan bagi menyokong industri kopi tempatan khususnya di Nabawan dan Sook sekaligus meningkatkan pendapatan pengusaha kopi di kawasan tersebut.
Katanya, pembinaan kemudahan itu mencerminkan komitmen kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) untuk memperkukuhkan industri kopi negara.
“Projek ini bukan hanya memberi kemudahan pemprosesan hiliran, tetapi juga membuka peluang kepada masyarakat setempat khususnya para belia dan beliawanis untuk terlibat dalam industri kopi, selain menambah nilai produk bagi pasaran tempatan dan eksport,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Coffee House dan Café Coffeelive di Stesen Pertanian Sepulut dekat sini pada Selasa.
Jelas Arthur, apabila siap nanti (kilang) Coffee House tersebut dijangka mampu memproses sehingga 248 tan kopi setahun meliputi hasil kopi Nabawan (90 tan) dan Sook (158 tan).
“Dengan adanya kemudahan ini, pengusaha kopi dapat mengekalkan kesegaran dan kualiti kopi kerana tidak perlu lagi membawa hasil mereka ke daerah Tenom atau daerah lain untuk diproses.
“Selain itu, pembinaan Café Coffeelive yang berkonsepkan agropelancongan kelak akan menjadi daya tarikan pelancong dengan mengetengahkan produk kopi tempatan kepada pengunjung melalui konsep taman kopi yang menampilkan tiga varieti kopi iaitu Robusta, Arabica, dan Catimor.
Ketika menjelaskan tentang cabaran dan potensi industri kopi di Sabah, beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, industri kopi di Sabah mempunyai potensi besar untuk diterokai.
Katanya, setakat tahun 2022, pengeluaran kopi Sabah hanya mencapai 35 peratus kecukupan melalui keluasan bertanam sebanyak 1,434.2 hektar dengan hasil pengeluaran sebanyak 936.1 tan.
“Untuk menampung keperluan tempatan, Sabah terpaksa mengimport sebanyak 1,920.49 tan kopi setahun dengan nilai RM20.48 juta untuk menampung keperluan tersebut.
“Oleh itu KPKM melihat pengeluaran kopi di Nabawan dan Sook, yang menyumbang 26.5 peratus daripada keseluruhan pengeluaran kopi Sabah berpotensi besar untuk dikembangkan,” jelas Arthur.
Pada majlis tersebut Arthur turut menyampaikan Bantuan Mesin Pemprosesan Kopi (Huller dan Depulper) bernilai RM23 ribu kepada empat pengusaha yang merupakan peserta Projek Pembangunan Kopi 2024 bimbingan Jabatan Pertanian Sabah.
Pengarah Pertanian Sabah, Jifrin Mohamad dalam ucapan aluannya menjelaskan bahawa pembinaan kemudahan tersebut akan memperkukuh kedudukan daerah Nabawan sebagai pusat agropelancongan dan hab pengeluaran kopi di negeri ini.
Kata Jifrin, bagi memastikan kelestarian pengoperasian kilang dan Café Coffeelive berjalan dengan lancar kemudahan sumber bekalan air bersih berkapasiti 18,000 liter melalui penggunaan teknologi hijau telah disediakan oleh kerajaan negeri melalui jabatan beliau.
Jelasnya, projek pembinaan kemudahan kilang dan Café Coffeelive tersebut akan siap dalam tempoh enam bulan iaitu pada 4 Februari tahun hadapan dan apabila siap nanti penoperasiannya akan dikendalikan oleh pengusaha yang mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Semoga dengan siapnya projek ini nanti ia akan membantu mengelakkan lambakan buah kopi segar, meningkatkan pendapatan pengusaha kopi, dan menyokong pembangunan sosioekonomi di kawasan pengeluar kopi tanah rendah khususnya daerah Nabawan dan Sook,” katanya.
Hadir sama menyaksikan upacara pecah tanah tersebut adalah Setiausaha Tetap MAFFI Datuk Leonard Stephen Poyong, Penolong Pegawai Daerah Nabawan Alan Medin serta Timbalan-timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH